Click Here To Help Quberscout To Survive...

Selamat Datang...

Monday 31 August 2009

TITAH DYMM SPB YDPA ...

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN
IBNI AL-MARHUM SULTAN MAHMUD
AL-MUKTAFI BILLAH SHAH
SEMPENA ULANGTAHUN
SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KALI
KE-52

Bismillahir Rahmannir Rahim,
Al-hamdulillahi Rabbil ‘Alamin,
Wabihi Nasta’in .


Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, Beta memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, atas limpah kurnia-Nya, dapat Beta dan seluruh rakyat menyambut dan meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Kali Ke-52 pada tahun ini. Besarlah harapan Beta semoga sambutan kemerdekaan pada tahun ini disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan daripada seluruh rakyat jelata, khususnya warga pendidik dan murid-murid sekolah.

2. Beta berasa syukur dan berbangga kerana rakyat jelata masih dapat meraikan sambutan kemerdekaan dalam suasana yang penuh harmoni dan semangat perpaduan. Beta percaya bahawa perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum merupakan tonggak keamanan dan kesejahteraan negara. Oleh itu, Beta berharap supaya nilai-nilai murni yang kita amalkan selama ini dikekalkan bagi melahirkan insan yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti.

3. Beta juga berharap agar negara kita menjadi model kepada negara-negara lain khususnya dalam kebebasan mengamalkan ajaran agama. Justeru, keharmonian yang dikecapi ini melambangkan kesefahaman dan toleransi dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada penganut agama yang berbeza. Kesefahaman ini bukanlah mudah untuk kita perolehi. Tetapi berkat pengorbanan dan sikap bertolak ansur dalam kalangan rakyat mengamalkan ajaran agama masing-masing, maka kita berjaya mewujudkan sebuah negara yang makmur.

4. Justeru, Beta berharap para pendidik dan murid-murid perlu menghayati erti kemerdekaan supaya menjadi bangsa yang mendokong cita-cita perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang terdahulu. Kesedaran ini akan menyemarakkan semangat cinta akan negara dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu yang berbunyi, "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung". Sehubungan dengan itu, sejarah kemerdekaan negara perlu difahami dan dihayati. Beta berharap para pendidik meneruskan usaha murni ke arah melahirkan generasi muda yang celik sejarah. Beta yakin, apabila generasi muda kita celik sejarah, kita berupaya mewujudkan modal insan yang bertanggungjawab dan berhemah tinggi.

5. Dalam mengekalkan kemerdekaan selama 52 tahun, kita telah dapat menghayati satu kelangsungan amalan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Hasilnya, tanpa mengira perbezaan kaum dan agama, kita berupaya mengekalkan hak kehidupan di dalam negara yang berdaulat ini. Beta berharap agar para pendidik dan murid-murid menjadikan Perlembagaan Negara sebagai satu wahana ke arah mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Oleh itu, kita mampu mengangkat martabat negara ke arah negara maju di mata dunia.

6. Kemajuan yang dinikmati tidak mampu dikekalkan sekiranya kestabilan politik tidak dapat diwujudkan. Justeru, Beta berharap rakyat dapat berpadu tenaga dan fikiran ke arah mewujudkan kestabilan dan keamanan negara yang berterusan. Oleh itu, Beta menyeru agar rakyat dan pemimpin tanpa mengira ideologi politik dan agama bersama-sama seia-sekata merungkai kesejahteraan hidup demi negara tercinta. Hubungan yang erat antara pemimpin dan rakyat, hendaklah “Bagai aur dengan tebing” supaya tiada jurang yang memisahkan rakyat. Beta amat berkenan dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Kesungguhan para pemimpin membela hak rakyat mestilah diutamakan dalam agenda perjuangan memartabatkan negara.
Sehubungan dengan itu, negara akan terhindar daripada ancaman anasir-anasir jahat yang sentiasa mengintai peluang untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat.

7. Beta juga bersyukur kerana negara kita berjaya mengharungi kegawatan ekonomi dengan tabah. Walaupun tempiasnya masih dirasai, namun berkat doa dan usaha gigih para pemimpin negara dan rakyat, kita masih mampu mengekalkan kestabilan ekonomi dan daya saing negara di mata dunia. Dalam hal ini, kita perlu bersyukur kerana kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara masih dapat dinikmati sepenuhnya. Oleh itu, Beta menyeru rakyat supaya bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha memajukan ekonomi negara.
Beta percaya, berkat kerjasama semua pihak, negara dan rakyat akan terus menikmati tahap prestasi ekonomi yang memberangsangkan.

8. Untuk memastikan kemerdekaan negara terus berkekalan, Beta berharap agar rakyat terus berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukunegara. Hal ini demikian kerana apabila kelima-lima prinsip yang terkandung dalam Rukunegara diamalkan, kesedaran, kepatuhan dan kesetiaan kepada negara akan terus terpahat di hati sanubari rakyat.
Impaknya, akan lahirlah rakyat yang berjiwa patriotik dan mengamalkan nilai-nilai murni. Beta juga inginkan rakyat terus mengekalkan perpaduan dan saling menghormati serta bekerjasama, bak kata pepatah Melayu “Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”, dan “Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”.

9. Generasi hari ini perlulah mempunyai minda kelas pertama selaras dengan aspirasi negara iaitu menjadi bangsa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Beta percaya bahawa rakyat yang berakhlak mulia mampu menangkis gejala-gejala negatif seperti rasuah, penyalahgunaan dadah, pecah amanah, gejala sosial dan sikap antinasional. Hal ini amat relevan dengan dasar negara yang mahukan nilai-nilai integriti diterapkan dalam kehidupan. Oleh itu, Beta menyeru rakyat supaya dapat mengelakkan sikap antisosial yang boleh menghancurkan keamanan dan kesejahteraan negara.

10. Pada hari ini, dunia menghadapi pelbagai ancaman akibat daripada pelbagai kesilapan yang dilakukan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Pelbagai isu berkaitan alam sekitar, penyakit dan keamanan sejagat sering diperkatakan. Oleh itu, Beta menyeru agar rakyat dapat menangani masalah ini secara positif dan rasional. Sikap dan amalan yang berhikmah semestinya mendasari setiap tindakan yang dilakukan. Dalam hal ini, rakyat mestilah sentiasa berfikiran rasional yang Beta yakin menjadi indikator ke arah kejayaan negara bangsa.

11. Harapan Beta agar Ulang Tahun Kemerdekaan kali ini menjadi sambutan yang mencetus dan menyemarakkan semangat ‘1MALAYSIA’ menjadi kenyataan. Kerukunan hidup mestilah kita utamakan bagi menjamin hidup yang sejahtera dan berkekalan. Oleh itu, Beta juga berharap para guru dan murid-murid memahami erti kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya. Perjuangan memartabatkan bangsa dan negara dalam mengekalkan kelangsungan kemerdekaan negara perlu diteruskan. Justeru, keberkesanan guru-guru melaksanakan tanggungjawab mendidik anak bangsa ialah satu amanah yang mesti ditunaikan dengan penuh iltizam.

12. Akhir titah, Beta berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar sambutan ulang tahun kemerdekaan yang kita raikan ini dapat merealisasikan matlamat mewujudkan keamanan dan kemakmuran negara, selaras dengan tema Ulang Tahun Sambutan Kemerdekaan Kali Ke-52 iaitu 1MALAYSIA. Oleh itu, tema ini mempunyai pengertian yang amat bermakna ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Kali Ke-52

Sekian , Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Rujukan daripada

No comments:


Designed by Najjah Indahart