Artikel ini dihantar bagi kita semua berfikir sejenak tentang penglibatan kita dalam berpengakap. Tidak kira dari hanya ahli biasa hinggalah ke peringkat yang tertinggi.
Sudah 100 tahun usia pergerakan pengakap. Sesuai dengan usia yang telah dicapai sudah pastilah pelbagai pengalaman yang suka dan duka telah ditempuhi dalam pergerakan pengakap, tidak kiralah di peringkat dunia mahupun di tanah air kita sendiri. Terasa terharu juga mendengar pelbagai onak dan duri yang dilalui oleh rakan-rakan pengakap bagi menjayakan sesuatu program yang dirangka. Sekiranya program yang dirancang berjaya sudah pasti ucapan tahniah akan menjadi pengubat penat dan lelah yang ditaburkan. Adakah balasan duit yang diminta? Mungkin bagi hanya sesetengah orang sahaja rasanya. Bagi saya, menjayakan sesebuah program bersama rakan-rakan merupakan sebuah pengalaman yang berharga bagi dikongsi dengan semua orang serta sebagai panduan bagi diri sendiri. Kadangkala kita berpanas, berhujan dan sanggup mengeluarkan duit poket sendiri serta berkorban masa bersama keluarga demi pengakap. Walaupun tiada bayaran untuk semua itu, tetapi kita akan dapat berlapang dada bila ucapan terima kasih serta sekalung tahniah dari rakan diucapkan kepada kita. Ini hanyalah pengalaman yang dirasai oleh saya yang baru setahun jagung bergelumang dalam pengakap ini. Pelbagai permasalahan yamg menghantui bagi kita bergerak sama ada diperingkat sekolah hinggalah ke peringkat kebangsaan. Apakah puncanya? Rasa-rasanya, semua ahli yang berpengakap lebih dari 10 hingga 20 tahun sekalian dapat menjawabnya.
Pemimpin yang lama akan menyepi dan membawa diri tanpa pelapis bagi menyambung kegemilangan berpengakap. Setelah lama berpengakap, apakah penghargaan yang telah diberi kepada golongan lama ini? Bagi kami diperingkat daerah, terdapat beberapa orang ahli pengakap yang berjasa tetapi penghargaan kepada mereka dimana? Adakah salah pengakap daerah?Adalah salah pengakap negeri? Adalah salah para pemimpin diibupejabat? Semua jawapan kepada persoalan ini sama-samalah kita fikirkan. Cuba-cubalah kita menghargai Seorang pengakap yang telah memakai seragam pengakap yang telah mulai luntur warnanya tetapi tetap membara semangatnya. Jawapan kepada persoalan saya ini diharapkan supaya rakan-rakan pengakap sekalian berfikir sejenak, demi tidak meninggalkan golongan yang telah lama berkorban demi pergerakan Pengakap ini.
Kepada para pemimpin pengakap yang telah lama berpengakap, tahniah dari kami di Daerah Hulu Terengganu. Pangkat bukan segalanya, tetapi segala pengorbanan anda akan sentiasa kami ingati. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Al-Fatihah buat Allahyarham Ayahanda Abd. Salim b. Embong yang telah banyak mencurahkan bakti dalam usaha memperkasakan Kepengakapan di Daerah Hulu Terengganu.
(yusazri_f5e:Artikel ini hanya pendapat saya sahaja dan tidak melibatkan Quberscout)