Lagu Selamat Sultan
Allah Daulatkan Tuanku Sultan
Terengganu Darul Iman
Allah Peliharakan Tuanku Sultan
Sejahtera Sepanjang Zaman
Allah Rahmatkan Tuanku Sultan
Memerintah Rakyat Aman
Lagu kebesaran Negeri atau Lagu Selamat Sultan yang digunakan hingga masa
kini digubah dalam tahun 1927 , semasa pemerintahan Almarhum Sultan Sulaiman
Badrul Alam Shah. Penggubahnya ialah Cikgu Mohd Hashim bin Abu Bakar, peranakan
Singapura yang semasa itu menjadi seorang guru di Sekolah Melayu Paya Bunga
Kuala Terengganu. Beliau juga seorang guru Pancaragam Pasukan Pengakap Sultan
Sulaiman.
Lagu ini telah disusun oleh beliau bagi menjunjung titah perintah Duli Yang
Maha Mulia Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Setelah gubahan lagu itu
siap, ia telah dipersembahkan dan diperdengarkan kepada Duli Yang Maha Mulia
Almarhum Sultan. Baginda telah mengapuni berkenan menerima lagi itu dan ia
dijadikan ‘ Lagu Selamat Sultan ’. Susunan senikata lagu asal adalah seperti
berikut :-
Allah peliharakan Raja kami
Sultan Terengganu Negeri
Allah peliharakan Raja kami
Sejahtera dua laki isteri
Allah peliharakan Raja kami
Memerintah Terengganu Negeri
Susunan senikata asal telah disusun dan digubah semula oleh Pejabat
Pelajaran Negeri Terengganu selepas pemerintahan Jepun dan kekal sehingga 9 Mac
1990. Senikata lagu yang telah digubah semula adalah seperti berikut :-
Allah peliharakan Raja kami
Memerintah Terengganu Negeri
Allah peliharakan Raja kami
Sejahtera suami isteri
Allah perliharakan Raja kami
Sentosa rakyat negeri
Pada tahun 1989, Allahyarham Dato’ Setia Jasa ( Dato’ Hj. Mohd Salleh bin
Hj. Awang ) telah mencadangkan supaya senikata lagu " Selamat Sultan
" diubahsuai. Sehubungan dengan itu, Pentadbiran Negeri telah menubuhkan
sebuah Jawatankuasa seramai 8 orang yang diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan
Terengganu ( Y.B. Setia Wangsa ) bagi mengkaji semula senikata lagu ‘ Selamat
Sultan ’. Sebahagian senikatanya didapati kurang sesuai dengan keadaan sekarang
dan tidak pula mengikuti bahasa Istana. Jawatankuasa ini telah membuat beberapa
pindaan ke atas senikata lama lagu tersebut.
Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah
mengampuni berkenan dengan pindaan senikata lagu Selamat Sultan yang terus
dinyanyikan sehingga kini.
Sumber :