MELAKA, 20 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pergerakan pengakap mampu membantu dalam mewujudkan keamanan sejagat berdasarkan kepada falsafah mereka yang menjurus kepada penekanan terhadap aspek mengenai persaudaraan, kedamaian dan keamanan.
Perdana Menteri berkata anggota pengakap di seluruh dunia disemai dengan semangat persaudaraan yang tinggi, cintakan keamanan, kedamaian dan bersedia memberi pertolongan pada bila-bila masa.
"Pengakap adalah satu pergerakan yang global," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambori Keamanan Antarabangsa Ketiga Pengakap di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini hari ini.
Jambori selama tujuh hari yang bermula sejak 18 Ogos lepas, dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari negara rantau Asia Pasifik seperti Mesir, Lubnan, Thailand, Yaman, Kuwait, Indonesia, Turki dan Malaysia.
Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Pengakap Malaysia berkata melalui jambori yang diadakan itu, anggotanya boleh berbincang sesama mereka mengenai pelbagai perkara-perkara ke arah mewujudkan keamanan dan kedamaian.
Beliau berkata dalam jambori terdapat peserta yang datang dari negara-negara Timur Tengah yang berhadapan dengan masalah-masalah tertentu.
"Dengan adanya pertemuan ini, mereka akan dapat memahami masalah dan penderitaan yang dialami oleh rakyat di sesetengah negara-negara Timur Tengah," katanya.
Abdullah berkata di Malaysia, anggota pengakap sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan secara sukarela terutamanya ketika muncul kejadian bencana alam atau kemalangan lain yang memerlukan ramai tenaga sukarelawan.
Beliau berharap ramai lagi sukarelawan, terutama dari golongan belia, akan menganggotai pergerakan pengakap dalam negara.
"Saya sendiri adalah anggota pengakap semasa di sekolah dan saya amat menghargai persahabatan yang dijalinkan antara saya dan pelajar-pelajar dari kaum Cina, India, Singh pun ada; dan juga kawan-kawan sebangsa dengan saya. Sehingga hari ini (kami) masih ada hubungan persahabatan, mereka masih sahabat saya," katanya.
Abdullah seterusnya berkata beliau berharap peserta dari luar negara dapat meluangkan masa untuk melawat Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan Kuala Lumpur bagi melihat pembangunan yang pesat dan kehidupan masyarakat berbilang bangsa yang harmoni di Malaysia.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment