Click Here To Help Quberscout To Survive...

Selamat Datang...

Friday, 22 August 2008

PERUTUSAN KETUA PENGAKAP NEGARA ... SEMPENA HARI PENGAKAP MALAYSIA


Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Pengakap saya ucapkan kepada semua Pengakap di seluruh tanah air.

Marilah kita sama-sama mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya saya berpeluang menemui para Pengakap dari semua lapisan melalui Perutusan Hari Pengakap Malaysia yang disambut pada 1 Ogos 2008 ini."Selamat menyambut 100 tahun Berpengakap Di Malaysia pada hari ini, 1 Ogos 2008". Di dalam perutusan ini, kita semua sama ada secara sedar atau tidak telahpun mengetahui kemelut yang berlaku sejak beberapa bulan yang lalu, tetapi dengan pertolongan Allah S.W.T yang Maha Berkuasa, dan dengan ucapan Alhamdulillah Syukur, kita dapat mengatasinya, dan kita dipihak yang benar untuk meneruskan "misi" dan "visi" yang kita semua mahukan.

Pada 14 Ogos ini, pelancaran setem kenangan 100 tahun akan dilancarkan, dan penjualannya akan dibuat secara meriah tetapi sederhana di Ibu Pejabat kita, Rumah BP, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, datanglah beramai-ramai pada hari berkenaan untuk menunjukkan kesepaduan, kesetiaan dan berhemahnya kita semua dalam melayari nostalgia kepengakapan 100 tahun di Negara yang kita cintai. Insya Allah dengan kejujuran dan komitmen kita semua dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab berasaskan "Persetiaan Pengakap" dan "Undang¬Undang"nya, kita di Persekutuan Pengakap Malaysia akan lebih dinamik dan relevan mengikut peredaran masa di dalam dan di luar negara, apatah lagi dengan sokongan sepenuhnya dari semua pihak atasan dan akar umbi Pergerakan kita.

Di sini sekali lagi saya suka memetik sedikit ucapan Y.A.B Perdana Menteri kepada kita semua didalam ucapan¬ucapan beliau, diantaranya yang saya dan semua pegawai serta pemimpin yang ada mendengar sama "....Because of my training in scouting movement in school those day, and because of my interest in scouting as a Patrol Leader, that's make me what I am today...."

"....dan saya percaya Pergerakan Pengakap selaku pertubuhan sukarela yang tertua di negara ini, kita telah dan akan dapat meneruskan membimbing generasi muda sebagai pelapis dan penerus kepada kepimpinan yang ada sekarang, di semua bidang, peringkat dan apa jua yang diceburi melalui asas latihan kepimpinan Pengakap yang ada sekarang; kerana saya yakin melalui penerapan "Persetiaan Pengakap" dan menghayati "Undang¬Undang"nya, boleh menjadikan kita "as what we are now" and better still as we move on in our life" with scout spirits.

"....kita mampu dan berdaya tegas dalam menangkis, malah dapat menyahut hasrat kerajaan dalam melawan gejala-gejala sosial yang semakin serius melanda anak-anak muda kita sekarang, kerana sebagai ahli Pengakap, kita boleh menarik serta mempengaruhi mereka daripada terjerumus dan menghindari perkara seperti terlibat dengan dadah, bohsia, disiplin di sekolah, mencuri, gangsterisme dan lain-lain yang merosak masa depan, serta membataskan kegiatan tanpa moral melalui kegiatan dan aktiviti kepengakapan...."

Persekutuan Pengakap Malaysia yang diperbadankan di bawah Akta Parlimen Malaysia No. 38 (1968) dengan pindaan No. 143 (1974) dan No. 409 (1989) telah bergerak sebagai badan sukarela yang bersifat non-partisan iaitu bebas dan tidak terpengaruh kepada mana-mana pihak yang berkepentingan seperti termaktub dalam Persetiaan Pengakap:

Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia yang saya dengan seberapa daya upaya saya, akan:
Taat kepada Tuhan, Raja dan Negara;
Menolong Orang Pada Setiap Masa;
Menurut Undang-Undang Pengakap.

Justeru itu, Pergerakan Pengakap memerlukan dimensi dan strategi yang lebih aggresif dan efektif bagi memantapkan peranan sebagai wadah pemupukan semangat jati diri serta membentukan bina upaya insan yang kritis, kreatif, competent, konstruktif, inovatif, koheren dan kohesif selaras dengan Rancangan Malaysia ke-9. Pemantauan secara berterusan terhadap kualiti kepengakapan itu harus dipergiatkan dari segi pengurusan, pentadbiran, latihan dan program. Di peringkat kumpulan, ahli pengakap seharusnya diberi peluang, ruang dan pendedahan yang sesuai bagi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman bagi membolehkan mereka mencapai tahap kepengakapan berkualiti tinggi iaitu ke peringkat RAMBU, SIJIL PENGAKAP RAJA dan ANUGERAH BP. Teras kepengakapan adalah sebagai pendokong pendidikan dan latihan berterusan yang melengkapkan pendidikan formal dan tidak formal serta bertanggungjawab dalam proses pembinaan insan berkualiti tinggi. Penekanan terhadap mutu disiplin yang tinggi merupakan tunggak dalam penentuan tingkahlaku dan akhlak individu yang cemerlang. Ahli-ahli pengakap yang terlatih berupaya untuk mencerminkan keperibadian yang tinggi, sistematik, berkesan mampu mencerna pemikiran yang dinamis.

Di peringkat antarabangsa, Pengakap kita tidak kurang hebatnya, kerana kita berjaya dipilih untuk menjadi tuan rumah APR Conference ke-23 pada November 2009, tahun hadapan, di mana pemilihan itu dipersetujui oleh semua negara APR, semasa APR Conference ke-22 di Tokyo, Jepun pada bulan November 2007 yang lalu. Disamping itu, PPM juga telah dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada Jambori IUMS (International United Muslims Scouts) ke-3, pada 18 - 24 Ogos 2008 ini, yang mana ini menunjukan kehebatan dan kewibawaan kita adalah diiktiraf oleh dunia Islam. Dan tidak dinafikan juga kepimpinan kita telahpun diketengahkan dengan dua jawatan penting dalam Pengakap Asia, adalah disandang oleh kita, iaitu Setiausaha Agong Pengakap ASEAN iaitu Encik Nasaruddin Samsuddin dan Bendahari Pengakap ASEAN iaitu Y.Bhg. Dato' Haji Kaharudin Mo'min.

Saya suka mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas khidmat bakti semua pihak terutama, ahli-ahli majlis, pesuruhjaya-pesuruhjaya peringkat nasional, negeri dan daerah dan para pemimpin serta kepada pengarah, pengetua dan guru besar sebagai kuasa penganjur kumpulan Pengakap yang secara berterusan memberi galakan dan dorongan bagi mencapai kecemerlangan dalam kepengakapan dan di kesempatan ini saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima-penerima Bintang dan Pingat Pesekutuan Pengakap Malaysia pada tahun ini, sayugia dengan penganugerahan itu menjadikan tuan-tuan dan puan-puan bertambah yakin dan gigih dalam menjayakan Pergerakan Pengakap kita di tanah air dan seantero dunia.

Selamat Hari Pengakap dengan iringan doa "Hari Ini Adalah Lebih Baik Dari Semalam dan Esok Lebih Baik Dari Hari Ini" Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalam Mualaikum W.T.H dan Salam Sejahtera, Salam Pengakap.
Wassamualaikum Warahmatullahi


Dato' Seri Dr. Haji Shafie bin Haji Mohd Salleh
Ketua Pengakap Negara

No comments:


Designed by Najjah Indahart