Click Here To Help Quberscout To Survive...

Selamat Datang...

Friday, 18 September 2009

ZAKAT ... Sudahkah Kita Menunaikan Zakat?

ZAKAT DARI SEGI BAHASA

Zakat dari segi bahasa membawa maksud bersih,suci,subur,berkat,dan berkembang. Pengertian "bersih" dan "suci" dalam istilah zakat membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti kata yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dendam dan dengki terhadap orang kaya.

ZAKAT DARI SEGI SYARAK

Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

HIKMAH PENSYARIATAN ZAKAT

Tujuan dan pensyariatan ibadah zakat adalah bertujuan untuk :

1) Mengagihkan sebahagian kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berkemampuan.
2) Membersihkan diri pembayar zakat
3) Menyuburkan dan memberkati harta pembayar zakat.
4) Mewujudkan rasa bersyukur terhadap nikmat kekayaan yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepada hamba-hamba NYA.
5) Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan sebahagian harta mereka
6) Menyatukan umat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
7) Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai oleh ALLAH SWT.
8) Melahirkan jiwa yang tenang dan tenteram kepada pembayar zakat.

DALIL PENSYARIATAN ZAKAT

" Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah ,supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari ahklak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka ,kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka,dan ( ingatlah ) ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ( Surah At-Taubah : Ayat 103 )

" Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat " (Surah An-Nur : Ayat 56 )

" Dain (ingatlah wahai Muhammad),ketika Kami mengikat perjanjian taat setia dengan Bani Israil (dengan berfirman) : Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH,dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa ,dan kaum kerabat,dan anak-anak yatim serta orang miskin,dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya ( Surah Al Baqarah: Ayat 83)

Syarat Wajib Bayar Zakat & Harta Yang Di Wajibkan Zakat

Sebelum menunaikan zakat,terdapat beberapa aspek yang perlu di beri perhatian untuk melayakkan individu tersebut menunaikan tanggungjawab menunaikan zakat.

1) ISLAM : Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja

2) MERDEKA : Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.

3) SEMPURNA MILIK : Harta yang hendak di zakatkan hendaklah dimiliki dan di kawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dan bukan Islam,hanya bahagian orang Islam sahaja yang layak diambil kira di dalam pengiraan zakat.

4) HASIL USAHA YANG BAIK SEBAGAI SUMBER ZAKAT : Para Fuqaha' sependapat bahawa semua pendapatan dan penggajian sebagai " Mal Mustafad" iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.

5) CUKUP NISAB : Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.

6) CUKUP HAUL : Cukup haul bermaksud setahun iaitu 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam pengiraan zakat pendapatan ,jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk mengira zakat pendapatan

HARTA YANG DI WAJIBKAN ZAKAT MENURUT SYARAK

Terdapat dua jenis zakat yang telah di tetapkan oleh syarak :

1) Zakat Fitrah : Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Zakat Fitrah hanya dikeluarkan pada bermula awal Ramadhan hingga sebelum terbenam matahari 1 syawal ( Catatan : Waktu Makruh- Selepas solat sunat hari raya hingga terbenam matahari)

2) Zakat Harta : Jenis-jenis harta dikenakan zakat adalah seperti Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Binatang Ternakan, Zakat Pertanian, Zakat Wang Simpanan, Zakat Emas & Perak,Zakat Saham, Zakat Ma'adin,Kunuz dan Rikaz

Asnaf Zakat

Zakat akan di agihkan kepada beberapa asnaf yang berhak mengikut kaedah syarak. Asnaf-asnaf tersebut ialah :

1) ASNAF FAKIR : Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan,pakaian,tempat tinggal,dan keperluan-keperluan lain.

2) ASNAF MISKIN : Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.

3) ASNAF AMIL : Orang yang dilantik / ditauliahkan oleh pemerintah untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.

4) ASNAF MUALLAF : Orang yang baru memeluk Islam iaitu "orang yang dijinakkan hatinya" dengan di beri bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.

5) ASNAF RIQAB : Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.

6) ASNAF GHARIMIN : Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan hendaklah:

a) Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya
b) Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang di haruskan syarak
c) Hutang itu telah sampai tempoh untuk dijelaskan

7) ASNAF FISABILILLAH : Fisabilillah ialah tiap-tiap perbuatan/perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untuk menegakkan syiar Islam.

8) ASNAF IBNU SABIL : Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai perbelanjaan. Pengembaraan tersebut hendaklah dengan syarat :

a) Mengembara dari negeri tempat asal
b) Tujuan pengembaraan diharuskan syarak

Dipetik dari
Lamam Pusat Zakat Sabah (MUIS)
http://www.zakat.sabah.gov.my/infozakat/infozakat.htm

No comments:


Designed by Najjah Indahart