Sukma yang melabuhkan tirainya, semalam (9 Jun 2008), telah menobatkan Terengganu sebagai juara keseluruhan selepas meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.
Catatan kejayaan itu melayakkan Terengganu menerima anugerah Piala Perdana Menteri yang disampaikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
Keunggulan kontinjen Terengganu pada temasya Sukma kali ini juga menyaksikan penguasaan Raja Sukma, Selangor terkubur selepas menduduki kejuaraan Sukma enam kali sejak 1996. Selangor muncul naib juara dengan 54 emas, manakala Sarawak 52 emas.
Secara keseluruhan, tuan rumah berjaya merangkul 61 pingat emas, angka yang tidak terfikir oleh kontinjen negeri dan seluruh rakyat Terengganu.
Pada awalnya, para pegawai termasuk Menteri Besar, Dato' Ahmad Said hanya mensasarkan pencapaian 40 pingat emas pada awal temasya yang lalu.
Jika pada malam sebelumnya (8 Jun 2008), pasukan bola sepak tuan rumah telah menggamatkan stadium yang sama dengan sorakan penyokong yang memberi semangat sekaligus menyumbangkan emas ke-59 dan muncul juara acara itu selama dua tahun berturut-turut.
Penguasaan Terengganu terus membanggakan apabila dua pingat emas terakhir bagi acara berbasikal 150 kilometer perseorangan dan berpasukan menambah lagi erti pada hari terakhir yang berlangsung di Kuala Berang, semalam.
Sehingga penutup semalam, keseluruhan temasya berjaya memecahkan tujuh rekod kebangsaan menerusi renang, angkat berat dan olahraga, selain 48 rekod kejohanan juga diperbaharui.
Atlet renang Selangor, Foo Jian Beng diumumkan atlet lelaki terbaik selepas memungut pingat tertinggi iaitu lapan pingat di mana tiga emas, empat (perak) dan satu (gangsa).
Manakala gimnas Wilayah Persekutuan, Brenda Yap muncul atlet wanita terbaik selepas berjaya menggondol lima pingat sepanjang temasya itu.
Acara penutup yang disempurnakan oleh Perdana Menteri berlangsung dengan gilang gemilang turut disaksikan oleh kira-kira 50,000 penonton dari seluruh Terengganu di mana bendera Sukma secara rasmi diturunkan dan diserahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam sebagai wakil kontinjen Melaka yang bakal menganjurkan Sukma Ke-13 pada 2010.
Rujukan:
No comments:
Post a Comment