Click Here To Help Quberscout To Survive...

Selamat Datang...

Monday 12 October 2009

Jasa Allahyarham Tun Sardon Kepada Pergerakan Pengakap Akan Dikenang ... Petikan

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) : Jasa Allahyarham Tun Sardon Jubir kepada Pergerakan Pengakap dalam negara ini akan dikenang apabila Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Pengakap Rantau Asia Pasifik ke-23 dari 27 Okt hingga 1 Nov depan, kata seorang pegawai Persekutuan Pengakap Malaysia.

Sardon, yang merupakan Ketua Pengakap Negara dari tahun 1963 hingga 1973, telah banyak memberi sumbangan kepada Pergerakan Pengakap tempatan, terutamanya dalam mewujudkan Akta Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu (Akta Parlimen No 38 Tahun 1968), kata Sahrizal Sunari, Setiausaha Unit Persaudaraan B-P & Veteran, persekutuan tersebut.

Dalam satu kenyataan , Jumaat Sahrizal berkata banyak pembangunan pengakap di Malaysia telah dilaksanakan oleh Sardon semasa beliau menerajui Persekutuan Pengakap Malaysia.

Antara yang menjadi kebanggaan adalah penganjuran Persidangan Pengakap Timur Jauh ke-4 pada tahun 1964, di mana Malaysia julung kali menjadi tuan rumah kepada persidangan Pengakap serantau, dan Jambori Pengakap Malaysia pertama pada 1966.

Sahrizal berkata bakti Sardon dalam pergerakan pengakap telah membolehkan tokoh tersebut menerima beberapa anugerah pengakap di dalam dan luar negara, antaranya "Pingat Emas" dari Pengakap Korea Selatan dan "Pingat Emas Raja" dari Pengakap Thailand.

Sebagai mengenang jasa beliau juga, kem pengakap di Balakong, Selangor dinamakan Kem Pengakap Sardon Jubir.

Pada masa ini terdapat 24 buah negara menjadi ahli rasmi pergerakan pengakap Rantau Asia Pasifik. Mereka terdiri daripada Australia, Bangladesh, Bhutan, Brunei, Kemboja, Taiwan, Fiji, Hong Kong, India, Malaysia, Indonesia, Jepun, Kiribati, Korea Selatan, Maldives, Mongolia, Nepal, New Zealand, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Sri Lanka dan Thailand.

Sardon, yang dilahirkan pada 19 Mac, 1917 di Sungai Kluang, Rengit, Batu Pahat, telah memegang beberapa jawatan Kabinet dari tahun 1957 hingga 1973 sebagai Menteri Kerja Raya, Telekom & Pos, Menteri Pengangkutan dan Menteri Kesihatan.

Pada tahun 1974, beliau telah dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dari tahun 1975 hingga 1981.

-- BERNAMA

No comments:


Designed by Najjah Indahart