Click Here To Help Quberscout To Survive...

Selamat Datang...

Wednesday, 14 December 2011

Menjunjung Kasih Tuanku … Tuanku Mizan Catat Pelbagai Pencapaian Cemerlang

ARKIB : 13/12/2011

TUANKU Mizan Zainal Abidin yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 pada Isnin (semalam) mencatat pelbagai pencapaian cemerlang sepanjang menjadi ketua negara sejak lima tahun lepas, antaranya menjejak kaki ke Antartika.

Lawatan Seri Paduka Baginda dari 20 hingga 24 November 2011 ke benua itu adalah sempena langkah Malaysia menandatangani Triti Antartik 1959 pada 31 Oktober lepas, yang antara lain membolehkan saintis negara ini terlibat secara langsung dalam semua penyelidikan yang dijalankan di benua Antartika.

Malaysia adalah negara pertama dari Asia Tenggara dan negara Islam pertama menyertai perjanjian itu.

Tuanku Mizan, merupakan antara Raja Melayu termuda menaiki takhta sebagai Sultan Terengganu pada usia 36 tahun pada 1988, dan menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua termuda pada usia 44 tahun selepas Almarhum Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail yang menjadi Yang di-Pertuan Agong pada usia 41 pada 1961.

Tuanku Mizan, 49, juga menjadi Yang di-Pertuan Agong yang pertama menaiki jet pejuang Sukhoi SU-30MKM yang dipandu pada kelajuan supersonik, iaitu melebihi kelajuan bunyi, selama 45 minit mengelilingi ruang udara Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang pada 7 Februari 2011.

Pada 10 Mac 2011 pula, Seri Paduka Baginda menaiki KD Tunku Abdul Rahman, kapal selam negara yang pertama, dan menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan, serta melakukan simulasi tembakan terhadap sasaran dari kapal selam jenis Scorpene itu.

Tuanku Mizan yang terkenal dengan sikap rendah diri turut meluangkan masa seharian bersama anak-anak kapal bagi merasai kehidupan mereka di dalam kapal selam itu.

Sepanjang pemerintahan baginda, Tuanku Mizan turut membantu mempereratkan hubungan antara Malaysia dan negara luar. Selain menerima kunjungan pemimpin asing, baginda turut mengadakan lawatan ke beberapa negara asing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata secara peribadi beliau menghargai keserasian berurusan dengan Tuanku Mizan dalam semua hal.

"Sesungguhnya di bawah pemerintahan Tuanku, urusan berjalan dengan licin dan lancar. Hakikat ini amat dihargai oleh anggota jemaah menteri, yang berasa amat senang dengan peranan Tuanku sebagai ketua negara," katanya pada Sabtu lepas dalam ucapan pada majlis santapan menjunjung kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pula dalam ucapannya pada majlis itu berkata selama lima tahun pemerintahan Seri Paduka Baginda, Malaysia terus maju dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi.

"Sesungguhnya, pelbagai dasar dan amalan di bawah gagasan 1Malaysia membuktikan bahawa putik sudah menjadi buah, cita-cita sudah menjadi kenyataan dan didoakan, berkat sentuhan dan naungan Tuanku sebagai payung kedaulatan negara, keadaan ini terus berkekalan jua hendaknya," kata Rais.

Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Awang Kechik Abdul Rahman yang telah berkhidmat lebih dua tahun dengan Tuanku Mizan, berkata kegigihan yang ditunjukkan oleh baginda perlu diteladani oleh setiap rakyat di negara ini.

"Peringatan berulang kali kepada rakyat agar sentiasa menjaga hubungan baik sesama kaum, hormat menghormati dan bantu-membantu perlu dijadikan amalan bagi menjamin keharmonian negara," katanya ketika ditemui Bernama.

Awang Kechik berkata Tuanku Mizan sering memberi perhatian penuh kepada rakyat apabila setiap jemputan bagi acara-acara melibatkan rakyat sentiasa dipenuhi.

Tuanku Mizan yang mendirikan rumah tangga dengan Permaisuri Raja Nur Zahirah pada 1996, dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, 15, Tengku Mohammad Ismail, 13, Tengku Muhammad Mua'az, 11 dan Tengku Fatimatuz Zahra', 9.

Tuanku Mizan juga aktif dalam bidang sukan terutama sukan kuda lasak dan telah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan termasuk di luar negara. - BERNAMA

No comments:


Designed by Najjah Indahart