Click Here To Help Quberscout To Survive...

Selamat Datang...

Saturday, 16 February 2008

INFO... MEMORIAL BATU BERSURAT

  • Pada tahun 1887, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, di tepi Sungai Tara, di Kampung Buloh, Kuala Berang, HuluTerengganu. Kemudian pada tahun 1902, Batu ini dijumpai pula oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari, seorang ahli perniagaan, dibahagian tangga surau Kampung Buloh yang dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut. Batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya.Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya diatas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah di persembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian batu itu diletakkan diatas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S. Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan.
  • Batu ini ditulis didalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 Hijrah. Tulisan pada batu ini menerangkan, Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan -kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.Pada tahun 1923, batu ini telah dihantar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, batu bersurat tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jumaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

  • Pada 6 Julai,1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlansung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman diantara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada YAB. Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.Batu ini merupakan sebuah peringatan berbahasa Melayu yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengistiharan Agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-undang Islam.Memorial Batu Bersurat dibangunkan sebagai suatu Peringatan tempat penemuan Batu Bersurat. Batu Bersurat ini merupakan bukti tertulis tentang pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi bagi Negeri Terengganu malahan di Semenanjung Malaysia.Memandangkan tempat ini merupakan tapak yang begitu penting dalam pensejarahan negeri dan negara, adalah wajar ianya dibangunkan dan dijadikan sebagai suatu tempat kajian dan kunjungan penduduk negeri ini khasnya dan pelancong-pelancong amnya.

  • Adalah diharapkan dengan adanya Memorial ini lebih ramai pengkaji-pengkaji,peminat-peminat sejarah dan pelancong-pelancong akan berkunjung ke sini untuk melihat keadaan persekitaran tempat yang penting ini, disamping dapat membaca keterangan dan kenyataan yang terkandung pada Batu Bersurat.Memorial ini direkabentuk empat persegi sama seluas 11400cm x 11400cm dan bertingkat tiga belas ( 13 ) termasuk replika Batu Bersurat yang melambangkan Rukun Iman dan jumlah daerah di Negeri Terengganu. Bahan binaannya terdiri daripada batu granite biasa dan granite hitam. Memorial ini di rasmikan oleh YAB. Dato' Sri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada 13 April, 1992Illustrasi penemuan Batu Bersurat Terengganu di kaki tangga Surau Tok Abdul Rashid, Kampung Buloh, Hulu Terengganu oleh Saiyed Hussin Ghulam Al-Bukhari pada 1320H (1902M).
Dipetik dari:

No comments:


Designed by Najjah Indahart